RSS

Isnin, 25 Oktober 2010

Kata Aluan


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh kepada semua pengujung laman blog ini khususnya seluruh penduduk-penduduk Islam di kawasan Pandan Indah, Ampang , Selangor. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. berserta ahli keluarga dan para sahabat sekalian. Terlebih dahulu saya bersyukur ke Hadrat Ilahi kerana dengan limpah dan kurniaNya Surau Ubudiah ini, telah mempunyai laman blog untuk dilawati oleh ahli-ahli kariah bagi mengetahui aktiviti surau, maklumat barisan AJK, program bulanan, gambar-gambar aktiviti yang telah dijalankan dan juga beberapa maklumat yang boleh dimanafaatkan melalui ‘link’ ke laman web yang berkenaan. Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada tuan-tuan dan puan-puan yang sudi melawat laman blog surau ini. Dengan adanya laman blog ini, Surau Ubudiah telah mengorak langkah setapak lagi di dalam menyebarkan maklumat dan berita berkenaan segala aktiviti surau yang telah dan akan dijalankan, di samping aktivit kuliah harian kepada ahli kariah. Segala cadangan yang baik berkenaan aktiviti surau bolehlah dikirimkan melalui e-mail di laman web ini supaya ianya dapat dikaji oleh AJK.
Pandangan dan sumbangan tuan/puan amat kami hargai demi kebaikan surau kita bersama. Segala kekurangan di dalam laman blog ini saya ingin memohon ampun dan maaf dan Insya’ Allah akan perbaiki kandungannya dari masa kesemasa. Bagi pihak semua ahli Jawatankuasa Surau Ubudiah ini, kami menyedari bahawa kami bukanlah barisan yang terbaik untuk menjadi pentadbir yang sempurna. Justeru dengan rendah hati di kesempatan ini, kami memohon kerjasama semua pihak agar terus membantu kami dalam semua aspek ke arah merealisasikan visi ‘Surau Terbaik’ yang mesra kepada semua golongan: dewasa, remaja dan kanak-kanak tanpa adanya sebarang garis pemisah. Beberapa program jangka pendek dan jangka panjang sedang diaturkan demi mencapai maksud tersebut.
Sokongan yang ‘istiqamah’ dari semua amat diharapkan dalam memakmurkan surau kita. Maksud firman Allah SWT dalam Al-Quran, “Hanyalah yang memakmurkan rumah-rumah Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada sesiapa pun) selain daripada Allah, maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk.” Surah At- Taubah ayat 18. Sekian, terima kasih dan wassalam.


Muhammad Mokhtar Saleh
Setiausaha Surau

17 Zulkaedah 1431H
25 Oktober 2010